Friday, April 29, 2011

Karya Penulisan Agung

Aku merenung ke atas langit, dan pada ketika itu hujan turun dengan lebatnya. Terdapat pancaran kilat berserta dentuman guruh pada masa itu. Kemudian aku melihat sekawan burung kecil berwarna hitam berterbangan mencari tempat untuk berteduh. Indah sungguh suasana pada masa itu. Udara yang nyaman dan sejuk ketika itu sungguh menenangkan hatiku. Kemudian aku melihat ke dalam diri aku. Aku dapat merasakan kedamaian yang pastinya tidak akan dapat diperolehi semudah itu. 

Aku melihat burung kecil yang berterbangan lalu aku dapat melihat diriku dalamnya. Aku umpama burung kecil yang hilang arah untuk seketika. Aku umpama burung kecil yang mencari tempat berlindung di kala hujan yang lebat. Hakikanya, begitulah aku, aku masih mencari-cari diriku yang sebenarnya. Walaupun sudah terbentuknya keperibadian dalam diriku tetapi aku masih meragui akan kebolehan diriku.

Siapa bilang kehidupan ini tidak sukar. Bagiku, kehidupan aku amat rumit jalannya. Namun aku percaya satu hal sahaja, di mana aku percaya ada orang yang lebih teruk keadaannya dari aku. Aku masih ada tempat untuk bergantung. Aku mempunyai keluarga yang amat menyayangiku. Aku ada sahabat yang sentiasa menghiburkan hatiku. Setiap hari keperluanku dicukupi. Aku amat bertuah jika dibandingkan dengan mereka yang tiada apa dan sesiapapun. Satu hal lagi aku percaya Tuhan sudah pun membuat perancangan yang terbaik untukku. Segala kesusahan yang ku hadapi adalah untuk menguatkanku dan setiap kesedihan yang aku alami adalah untuk mendewasakanku.

Hanya satu ku pinta agar aku sentiasa diajar untuk berterima kasih di atas kehidupan yang telah diberikan kepadaku. Agar aku memahami maksudNya dalam segala sesuatu yang berlaku ke atasku. Semoga cinta kasinhNya sentiasa beserta denganku. Amen

No comments:

Post a Comment